Tuesday 6 September 2011

Guru ngaji Quraan yang masih dalam ingatan


Hingga kini aku masih ingat guru ngajiku yang sangat penyayang. Wajahnya yang putih bersih yang sering dibasahi air wuduk masih terbayang. Senyumnya bukan dipaksa tetapi sudah lumrah dia begitu. Sesekali dia berleter kerana kami datang lambat. Leterannya kami sambut dengan senyum dan ketawa dan berjanji tidak buat lagi.

Pelita minyak tanah yang ku bawa terus ku padamkan dan menaiki satu demi satu tangga rumah Kak Mah. Kami memanggilnya Kak Mah kerana dia sebaya dengan Kakakku Aisyah. Ketika itu umurku baru mencecah 11 tahun. Masih di sekolah rendah darjah lima.

Tiap petang rutinku ialah ngaji ke rumah Kak Mah dan selesai ngaji pulang ke rumahku dengan menggunakan pelita minyak tanah, waktu itu kampongku belum masuk letrik. Tiada televisyen, kalau ada pun radio yang pakai bateri kering. Jarak rumahku dengan rumah Kak Mah sekitar 500 meter, tapi jalan dalam pekan sederet tidaklah takut sangat.

Sesekali aku dengar letupan bom dan bunyi mesingan memecah kesunyian malam kerana kampongku bersempadan dengan Thailand di kawasan Betong. Fikirku waktu itu, mesti ada pertempuran antara askar kerajaan dengan komunis. Biasanya selesai ngaji Quraan aku akan segera pulang ke rumah kerana Ibuku selalu khuatir jika malam menjelang larut dan aku belum tiba di rumah.

Rumah Kak Mah agak mendaki sedikit dan di bawah berhampiran dengan jalan raya, ada balai polis, paya dan perigi mandi di bawah pohon rumbia. Rumah datuk dan nenek sebelah ibuku berada tidak jauh dari rumah Kak Mah, mereka berjiran. Kak Mah ialah anak angkat pasangan suami isteri Pak Ngah Yunus dan Tok Cek Mek. Tok Cek Mek ini kawan rapat ibuku, Halimah. Dengar cerita Kak Mah berasal dari keluarga Cina.

Oleh kerana Pak Ngah Yunus dan Tok Cek Mek tidak punya anak, maka Kak Mah menjadi buah hati dan jantung kesayangan mereka. Kak Mah dididik dengan agama yang kuat dan pandai membaca Al-Quraan dan suaranya merdu, lengkap dengan tajwid dan taranum yang mempersonakan. Aku sungguh bertuah dapat berguru dengan Kak Mah ketika itu. Kak Mah menjadi dara pingitan dan diburu oleh jejaka kampong, tapi mereka tidak berani hampir kerana malu dengan kelebihan Kak Mah dalam membaca Al-Quraan dan dikawal ketat oleh Tok Cek Mek yang dikira garang sangat pada waktu itu. Ramailah pemuda yang menaruh hati, tetapi cukup berkata-kata rindu dalam hati saja dan tidak berani meluahkan perasaan kerana tidak mungkin ada kesempatan ketika itu.

Waktu itu aku masih terlalu kecil dan tidak ambil kisah pun tentang alam percintaan pemuda pemudi ketika itu. Sesekali aku curi dengar juga perbualan mereka tentang kecantikan Kak Mah, tetapi Kak Mah berada dalam sangkar besi dan tak siapa berani hampiri kalau tiada kekuatan diri.

Rupa-rupanya kegiatanku pergi ngaji Quraan ke rumah Kak Mah dapat dikesan oleh seseorang yang sangat berminat dengan Kak Mah, biarlah aku namakan dia sebagai Pak Suka. Nama itu bukan nama sebenar.

“Mail, tolong bagi ini dekat Kak Mah.”, aku menerima sebungkus kuaci untuk disampaikan kepada Kak Mah oleh Pak Suka. Umur Pak Suka ketika itu sekitar tiga puluhan dan Kak Mah sekitar dua puluhan. Namun, aku tidak pernah membawa balasan dari Kak Mah kepada Pak Suka, aneh juga fikirku. Kadang-kadang aku mendapat kuaci free dari Pak Suka yang punya warong jualan gula-gula, kuaci, minuman dan sebagainya, mungkin juga sebagai upah pertolonganku.

Selepas darjah enam di sekolah rendah, aku mendapat tawaran belajar di sekolah menengah di kota dan kampong ku tinggalkan buat sementara. Sesekali bila cuti, ku pulang menjengok Ibu dan Ayah yang setia menanti kepulanganku setiap cuti penggal. Aku dapat tahu guru ngajiku sudah tiada selepas dia berkahwin dan melahirkan anak pertama. Beliau meninggal dalam usia yang muda, yang hingga kini tidak ku ketahui punca dia meninggal. Allah lebih sayangkan dia. Al-Fatihah.

Itulah salah satu kenanganku waktu kecil yang tidak dapat ku lupa hingga kini. Wajahnya yang penyayang dan bersih masih bermain di benakku. Aku teringat betapa Tuhan sering menyelamatkan makhluk yang disayangiNya dan membawa mereka pergi dan tak kembali lagi sewaktu masih muda. Beliau pergi dengan iman yang nyata dan sepanjang masa remaja di bawah kawalan Ibu dan Ayah angkatnya yang sangat penyayang.

Al-Fatihah ku bacakan kepada guru ngaji Quraan ku yang bernama Rahmah. Dikau dalam kenangan ku selama-lamanya sebagai muridmu yang setia.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 7 September 2011.

No comments:

Post a Comment