Wednesday 11 July 2012

Kegagalan ialah kejayaan yang tertangguh


Sejak 3 haribulan hingga 12 haribulan Julai 2012, saya berada di Utara Semenanjung Malaysia mengambil bahagian dalam Sukan Universiti Malaysia (SUKUM). Tahun ini Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi tuan rumah. Saya mewakili USIM dalam acara boling.

Kesempatan berada di utara saya gunakan untuk mengunjungi kawan-kawan lama yang sudah sekian lama tidak bertemu. Tahun 2005 hingga 2007 saya bertugas di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pada kesempatan itu sempat saya menziarahi kawan-kawan lama yang terputus hubungan ketika bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh. Namun selepas kembali bertugas di Negeri Sembilan hingga kini kesempatan bertemu kawan-kawan dari utara menjadi semakin kurang. Walau pun berada di Kangar, Perlis hanya selama 3 hari namun kesempatan itu saya gunakan untuk bersilaturahim dengan mereka.

Dalam kesempatan tulisan pendek ini apa yang saya ingin kemukakan ialah suatu konsep yang saya namakan “Kegagalan ialah kejayaan yang tertangguh”. Walau pun ayat ini seolah-olah ingin menidakkan perkataan kegagalan daripada kamus hidup seseorang, namun pada hakikatnya kita mesti melihat kegagalan sebagai suatu titik persimpangan ke arah kebaikan bukan ke arah kemurungan. Ketika di Perlis saya berkesempatan berbincang dengan seorang kawan lama yang tidak perlu saya sebutkan namanya dan dari mana. Apa yang penting ialah suatu keadaan yang hampir membawa kepada kegagalan namun saya masih mengkategorikannya sebagai sesuatu yang boleh diusahakan.

Pada umur melebihi separuh abad Hamid (bukan nama sebenar) belum memiliki Ijazah PhD (Doktor Falsafah) yang sangat diperlukan dalam bidang akademik. Universiti-universiti berlumba untuk memenuhi kuota 60% pemegang PhD dalam tim akademik mereka dan Hamid merasa sangat terisih apabila tenaga akademik muda pulang dengan PhD dan beliau merasa sangat terpinggir. Kesan psikologi ini yang semakin tidak tertanggung oleh beliau.

Masa saya membuat PhD dulu biasiswa kerajaan diberikan sehingga batas umur 43 tahun sahaja, lebih daripada batas umur itu tiada biasiswa. Oleh kerana umur persaraan kini ialah 60 tahun, jadi saya berpendapat batas umur mendapat biasiswa kerajaan untuk membuat PhD mesti dinaikkan kepada 48 tahun dengan mengambilkira 4 tahun membuat PhD dan tambahan perkhidmatan wajib kerana mengambil biasiswa selama 8 tahun, jadi cukup-cukup 60 tahun untuk bersara.

Hamid mengemukakan persoalan beliau kepada saya dan sebagai “Diplomat Penyelidikan” saya menggariskan beberapa strategi yang boleh beliau ambil. Pertama sekali beliau perlu membuat Analisis SWOT (Strength, Weaknesses, Opportunity dan Threats), saya harap pembaca tahu mengenai SWOT. Sekiranya tidak boleh mendapatkan bantuan PakCik Google bagi mendapatkan maklumat lanjut. Apabila Hamid mengetahui kekuatan (strength), kelemahan (weaknesses), peluang (opportunity) dan halangan (threats) beliau akan lebih mudah menyusun strategi untuk mendapatkan PhD. Misalnya bidang kekuatan Hamid ialah pengurusan dan ilmu matematik, kelemahannya ialah kewangan dan waktu, peluang ialah sampel ujian kaji yang tersedia dan halangan hanyalah kemahuan, maka beliau dengan mudah dapat mengatur langkah untuk mendapatkan PhD.

Pada umur melebihi setengah abad Hamid hanya boleh membuat PhDnya secara separuh masa (parttime), namun pada pendapat saya membuat PhD secara sepenuh masa atau separuh masa adalah sama saja sebab kekuatan utama ialah pada kemahuan diri sendiri. Perjumpaan dengan penyelia bukanlah setiap hari, boleh diatur perjumpaan dua minggu sekali atau seminggu sekali. Pada peringkat doktor falsafah peranan penyelia ialah sebagai pemudahcara sahaja, pelajar yang mesti berperanaan lebih aktif berbanding penyelia.

Pertama sekali Hamid mesti mencari dulu masalah yang ingin diselidiki. Masalah boleh dicari melalui jurnal terkini iaitu lima tahun ke belakang, cari jurnal yang berkaitan dengan bidang kajian kita untuk tahun 2012, 2011, 2010, 2009 dan 2008. Kajian literatur ini sangat penting bagi mengetahui apa yang sedang dibuat oleh orang-orang lain dalam bidang yang kita minati dan mencari mana-mana peluang untuk menyambung kerja-kerja mereka. Fasa ini dinamakan sebagai Fasa Pernyataan Masalah (problem statement phase). Di sini bantuan penyelia yang pakar dalam bidang berkaitan sangat diperlukan agar pelajar tidak tersalah arah. Hampir semua universiti di Malaysia memperuntukan dua semester untuk pelajar PhD mereka menghasilkan cadangan penyelidikan PhD (PhD research proposal) mereka. Pada akhir dua semester itu pelajar PhD mesti mempersembahkan cadangan penyelidikan PhD mereka di hadapan sebuah panel penilai yang akan menentukan apakah pelajar itu layak meneruskan kajian PhDnya atau membuat pembetulan.

Saya menyatakan kepada Hamid agar melaksanakan cadangan itu dulu supaya dalam masa enam bulan akan datang beliau dapat mengenalpasti dengan jelas apa yang hendak beliau buat bagi mendapatkan PhD dan siapa yang beliau pilih untuk menjadi penyelia. Pemilihan penyelia sangat penting kerana bidang yang penyelia kuasai dan juga motivasi yang boleh penyelia berikan sepanjang Hamid menjalankan penyelidikan PhD beliau nanti.

Saya rasa bukan Hamid sahaja yang sedang mengalami perkara ini, ramai lagi yang menghadapinya tetapi mereka mengambil sikap menyerah kerana mereka sudah terlambat katan mereka. Permainan kegemaran saya iaitu boling mengajar saya agar melupakan saja kerangka (frame) yang terbuka (open) tetapi memberikan fokus kepada kerangka (frame) yang belum dibaling kerana harapan “strike” atau “spare” masih tetap ada. Lupakan yang telah berlaku sebelum ini dan tumpukan kepada masa depan yang masih menjanjikan kecemerlangan. Bersikap positif lebih baik daripada bersikap negatif dan selalu ingat bahwa selagi kita bertindak kegagalan hanyalah sebuah kejayaan yang tertangguh.

Allah SWT memberikan kita kegagalan sementara supaya kita menilai kembali (muhasabah) terhadap apa yang telah kita lakukan, mungkin tersalah cara atau tersalah bidang yang diceburi dan senentiasa ada ruang untuk membuat pusingan U (U Turn) dalam hidup ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 13 Julai 2012.

Wednesday 13 June 2012

Sikap suka memberi membawa keberkatan rezeki

Menarik sekali saya membaca huraian Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya yang bertajuk “Nota Hati Seorang Lelaki”, terbitan Telaga Biru, tahun 2009. Buku setebal 272 halaman itu banyak memberikan pengajaran kepada saya dan kehidupan terutama yang tercatit pada mukasurat 7 hingga 10.

Pada mulanya saya ingin menyalin semula bahagian itu secara total, namun cara kami berbeza dalam menulis jadi saya ingin mengekalkan cara saya menulis dan dengan itu mula membina identiti sendiri dalam penulisan.

Tulisan empat (4) halaman Ust Pahrol itu dapat saya simpulkan sebagai “sikap suka memberi membawa keberkatan rezeki”, dan ini saya jadikan sebagai tajuk artikel ini.

Lingkaran orang yang paling layak menerima pemberian kita ialah ibu dan ayah, lingkaran kedua ialah adik beradik kita, lingkaran ketiga ialah anak-anak saudara dan seterusnya kepada sesiapa yang kita pilih untuk memberi. Ustaz Pahrol mengkhususkan dalam empat mukasurat itu kepada pemberian kepada ibu dan bapa sesuai dengan ayat berikut.

Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa sahaja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya [Al-Baqarah, ayat 215]

Mungkin di kalangan pembaca ada yang berpendapat, buat apa aku berikan kepada ibu dan bapaku yang sudah kaya raya dan mempunyai pencen yang tetap, mungkin dalam fikiran anda bermain persoalan atau anggapan nanti diperlinya aku pula jika pemberian itu sedikit. Terlalu jauh rupanya anda dengan konsep memberi (giving) jika itulah pemikiran anda. Di sini tindakan memberi itu bukan meninggalkan kesan kepada penerima, tetapi akan sangat meninggalkan kesan kepada si pemberi. Melalui konsep pemberian kita didik oleh Allah untuk merasakan bahwa semua rezeki itu dari ALLAH dan apabila kita memberi rasa bersih jiwa itu akan tertanam dalam diri pemberi dan ini akan membawa kepada kekayaan diri yang lebih daripada harta yang kita punya. Setiap pemberian mendapat pahala 700 kali ganda seperti yang dinyatakan dalam ayat 261, Surah Al-Baqarah.

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti dengan sebiji / sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai (bulir), pada tiap-tiap tangkai pula ada seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui [Al-Baqarah, ayat 261]

Ramai yang mempunyai harta tetapi tidak berkat, mempunyai rumah besar tetapi tiada ketenangan, mempunyai jam yang besar tetapi tidak mempunyai masa untuk ibu dan ayah, mempunyai ramai kawan tetapi tetap kesunyian, mempunyai segala-galanya, namun tiada kepuasan hati. Semua itu kita boleh nyatakan sebagai konsep keberkatan. Walau pun harta sedikit tetapi hati tenang, hidup bahagia, tidur lena dan tiada kesunyian walau sedetik pun. Kita akan tetap bersama Allah.

Ustaz Pahrol dalam empat halaman itu menceritakan mengenai seorang penulis yang berjaya berkat suka memberi. Beliau tidak memberi nama penulis itu dan menyatakan bahwa ini ialah kisah benar.

Menurut Ust Pahrol, si penulis ini pada mulanya sangat kekurangan dari segi harta benda dan wang ringgit, namun ayah si penulis ini selalu meminta wang kepada anaknya setiap kali anaknya pulang ke kampong menziarahi ayah dan ibunya. Kadang-kadang dalam nada mendesak. Hal ini diadukan kepada emaknya, lalu emaknya mengatakan berilah berapa yang kamu mampu, ayah tidak kisah sebenarnya. Si penulis agak keberatan memberikan lima ringgit kerana itu saja wang lebihan yang dia ada ketika itu. Namun, diberikan juga kerana emak mengatakan tak apa sedikit pun.

Ketika bas akan bertolak, si atuk memeluk cucunya dan ke dalam poket seluar cucunya dimasukkan ang sepuluh ringgit. Ketika itu si penulis tersenyum kerana yang diberikan kepada ayahnya hanyalah lima ringgit tetapi anaknya mendapat sepuluh ringgit, jadi pada perkiraannya untung lima ringgit. Tersenyum si penulis itu.

Tahun demi tahun perkara ini berlaku, kekadang si penulis terlupa, lantas diingatkan oleh ayahnya tentang pemberian itu lalu si penulis menyeluk sakunya dan memberikan sejumlah wang kepada ayahnya, tahun demi tahun pemberian itu bertambah kerana rezekinya makin bertambah. Kalau dulu dia pulang dengan bas tetapi kini dengan kereta. Malah sebelum pulang ke kampong, si penulis sudah menyediakan peruntukan untuk diberikan kepada ayahnya. Setiap kali mereka akan pulang setiap cucu akan mendapat habuan daripada ayahnya kerana kasihkan cucu-cucunya itu, walau pun jumlahnya kurang daripada pemberian si penulis.

Bermula dengan peniagaan penulisan dan penjualan buku secara kecil-kecilan kini si penulis sudah mempunyai perniagaan besar dan maju berkat kasih sayang dengan ayah dan ibu serta keberkatan rezeki melalui pemberian yang diberkati itu.

Ust Pahrol menyimpulkan kisah itu dengan menyatakan bahwa sebenarnya ibu dan bapa bukanlah liabiliti (tanggungan) tetapi sebagai aset yang sangat berharga, rugi sekali bagi sesiapa yang masih mempunyai ayah dan ibu tetapi mengabaikan mereka pada hari tua, sebak rasa hati saya ketika tulisan ini saya coretkan kerana tren pengabaian ayah dan ibu sedang berlaku di kalangan masyarakat kita hari ini. Anak tidak lagi menghormati ibu dan ayah, malah menjadikan mereka sebagai “babu” yang boleh ditengking herdik sesuka hati. Ya Allah, bukakanlah hati anak-anak muda dewasa ini agar lebih mengasihi ibu dan bapa mereka dengan sesungguhnya. Ibu dan ayah tidak megharapkan sangat harta benda dan wang ringgit, kehadiran anak-anaknya dan cucu-cucunya sangat bererti ketika mereka meniti hari-hari tua yang entah bila akan berakhir.

“Memberi kepada ibu dan bapa itu pada hakikatnya memberi kepada diri sendiri, walau pun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. Doa mereka mustajab. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka berkekalan dan bekalan akhirat. Benarlah kata-kata Rasulullah SAW, bahwa keredhaan Allah itu terletak kepada keredhaan ibu bapa”.

Ismail Abdullah, USIM, 14 Jun 2012.

Ibu Lebih Utama Berbanding Ayah

Rasa hormat yang mendalam mesti kita tumpahkan kepada Ibu, kemudian kepada Bapa. Ketika ini anak muda lebih banyak menumpahkan kasih sayang sesama teman-teman mereka dan ini sangat jauh daripada amalan Islam. Ada hal-hal yang kawannya lebih tahu daripada Ibu atau Bapa sendiri kerana mereka lebih suka bercerita sesuatu dengan kawan-kawan berbanding dengan ibu dan bapa sendiri.

Tulisan yang dipaparkan ini bertujuan untuk mengembalikan rasa hormat yang mendalam terhadap ibu dan bapa, terutama sekali kepada ibu yang sangat besar jasanya kepada kita.

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.”

Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam berjihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda:

“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

1. Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…” [al-Ahqaf 46:15]
2. Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…”
3. Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: “…dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke
pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku
mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak
dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]

Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: “Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.”

Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?”
Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).”

4. Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.

Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.

Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:
“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.”

Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa:
“Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun):

“Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”
Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]

5. Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan, seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma, “Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?”

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”

Dia menjawab: “Tidak.”
Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 14 Jun 2012.
Dipetik dan diubahsuai dari: http://hafizfirdaus.com/ebook/Ayah_Ibu/ibubapa sunnah 3.htm

Tuesday 6 September 2011

Guru ngaji Quraan yang masih dalam ingatan


Hingga kini aku masih ingat guru ngajiku yang sangat penyayang. Wajahnya yang putih bersih yang sering dibasahi air wuduk masih terbayang. Senyumnya bukan dipaksa tetapi sudah lumrah dia begitu. Sesekali dia berleter kerana kami datang lambat. Leterannya kami sambut dengan senyum dan ketawa dan berjanji tidak buat lagi.

Pelita minyak tanah yang ku bawa terus ku padamkan dan menaiki satu demi satu tangga rumah Kak Mah. Kami memanggilnya Kak Mah kerana dia sebaya dengan Kakakku Aisyah. Ketika itu umurku baru mencecah 11 tahun. Masih di sekolah rendah darjah lima.

Tiap petang rutinku ialah ngaji ke rumah Kak Mah dan selesai ngaji pulang ke rumahku dengan menggunakan pelita minyak tanah, waktu itu kampongku belum masuk letrik. Tiada televisyen, kalau ada pun radio yang pakai bateri kering. Jarak rumahku dengan rumah Kak Mah sekitar 500 meter, tapi jalan dalam pekan sederet tidaklah takut sangat.

Sesekali aku dengar letupan bom dan bunyi mesingan memecah kesunyian malam kerana kampongku bersempadan dengan Thailand di kawasan Betong. Fikirku waktu itu, mesti ada pertempuran antara askar kerajaan dengan komunis. Biasanya selesai ngaji Quraan aku akan segera pulang ke rumah kerana Ibuku selalu khuatir jika malam menjelang larut dan aku belum tiba di rumah.

Rumah Kak Mah agak mendaki sedikit dan di bawah berhampiran dengan jalan raya, ada balai polis, paya dan perigi mandi di bawah pohon rumbia. Rumah datuk dan nenek sebelah ibuku berada tidak jauh dari rumah Kak Mah, mereka berjiran. Kak Mah ialah anak angkat pasangan suami isteri Pak Ngah Yunus dan Tok Cek Mek. Tok Cek Mek ini kawan rapat ibuku, Halimah. Dengar cerita Kak Mah berasal dari keluarga Cina.

Oleh kerana Pak Ngah Yunus dan Tok Cek Mek tidak punya anak, maka Kak Mah menjadi buah hati dan jantung kesayangan mereka. Kak Mah dididik dengan agama yang kuat dan pandai membaca Al-Quraan dan suaranya merdu, lengkap dengan tajwid dan taranum yang mempersonakan. Aku sungguh bertuah dapat berguru dengan Kak Mah ketika itu. Kak Mah menjadi dara pingitan dan diburu oleh jejaka kampong, tapi mereka tidak berani hampir kerana malu dengan kelebihan Kak Mah dalam membaca Al-Quraan dan dikawal ketat oleh Tok Cek Mek yang dikira garang sangat pada waktu itu. Ramailah pemuda yang menaruh hati, tetapi cukup berkata-kata rindu dalam hati saja dan tidak berani meluahkan perasaan kerana tidak mungkin ada kesempatan ketika itu.

Waktu itu aku masih terlalu kecil dan tidak ambil kisah pun tentang alam percintaan pemuda pemudi ketika itu. Sesekali aku curi dengar juga perbualan mereka tentang kecantikan Kak Mah, tetapi Kak Mah berada dalam sangkar besi dan tak siapa berani hampiri kalau tiada kekuatan diri.

Rupa-rupanya kegiatanku pergi ngaji Quraan ke rumah Kak Mah dapat dikesan oleh seseorang yang sangat berminat dengan Kak Mah, biarlah aku namakan dia sebagai Pak Suka. Nama itu bukan nama sebenar.

“Mail, tolong bagi ini dekat Kak Mah.”, aku menerima sebungkus kuaci untuk disampaikan kepada Kak Mah oleh Pak Suka. Umur Pak Suka ketika itu sekitar tiga puluhan dan Kak Mah sekitar dua puluhan. Namun, aku tidak pernah membawa balasan dari Kak Mah kepada Pak Suka, aneh juga fikirku. Kadang-kadang aku mendapat kuaci free dari Pak Suka yang punya warong jualan gula-gula, kuaci, minuman dan sebagainya, mungkin juga sebagai upah pertolonganku.

Selepas darjah enam di sekolah rendah, aku mendapat tawaran belajar di sekolah menengah di kota dan kampong ku tinggalkan buat sementara. Sesekali bila cuti, ku pulang menjengok Ibu dan Ayah yang setia menanti kepulanganku setiap cuti penggal. Aku dapat tahu guru ngajiku sudah tiada selepas dia berkahwin dan melahirkan anak pertama. Beliau meninggal dalam usia yang muda, yang hingga kini tidak ku ketahui punca dia meninggal. Allah lebih sayangkan dia. Al-Fatihah.

Itulah salah satu kenanganku waktu kecil yang tidak dapat ku lupa hingga kini. Wajahnya yang penyayang dan bersih masih bermain di benakku. Aku teringat betapa Tuhan sering menyelamatkan makhluk yang disayangiNya dan membawa mereka pergi dan tak kembali lagi sewaktu masih muda. Beliau pergi dengan iman yang nyata dan sepanjang masa remaja di bawah kawalan Ibu dan Ayah angkatnya yang sangat penyayang.

Al-Fatihah ku bacakan kepada guru ngaji Quraan ku yang bernama Rahmah. Dikau dalam kenangan ku selama-lamanya sebagai muridmu yang setia.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 7 September 2011.